Halaman

04 Ogos 2010

Kuih Tradisional


Resepi Kuih Tako

Bahan-bahan Lapisan Bawah Kuih Tako
30g tepung jagung/ tepung hoen kew hijau
1 cmt pes pandan
250ml air
100g gula pasir
1 bj sengkuang cina dicincang

Bahan-bahan Lapisan Atas Kuih Tako
15g tepung beras
250ml santan daripada ½ biji kelapa atau 100ml santan kotak cairkan hingga menjadi 250ml
Sedikit garam

10 helai daun pandan untuk dijadikan kelongsong

Cara Membuat Kelongsong Kuih Tako
1.berdasarkan gambar rajah di atas potong daun pandan digarisan putus-putus dengan gambar gunting dan keluarkan bahagian bertanda X.
2. Lipat daun pandan 90 darjah membentuk bucu dimana bahagian bertanda ABCDEF dalam rajah diatas menjadi bucu ABCDEF dalam rajah dibawah.
3. Silangkan bahagian tapaknya agar ia menjadi kukuh dan dapat menampung berat kuih.
4. Gunakan lidi atau stapler untuk melekatkan bahagian sisi yang bercantum.
5.Jika daun pandan tidak cukup lebar, anda akan menghasilkan kelongsong yang rendah dan berlubang di dasarnya. Jadi potong sekeping daun pandan bersaiz 4cm x 4cm dan letakkan dibahagian dasarnya menutupi lubang tadi.

Cara Membuat Kuih Tako
1.Sediakan kelongsong kuih tako. Masukkan cincangan sengkuang cina 1/2 cmt setiap kelongsong.
2.Masukkan semua ramuan lapisan bawah ke dalam periuk, kacau rata.
3.Masak dengan api sederhana hingga pekat dan mendidih sedikit. Sentiasa mengacau sewaktu memasak untuk mengelakkan adunan bergentel.
4.Setelah itu, angkat dan tuang ke dalam kelongsong pandan yang telah dimasukkan sengkuang cina sehingga ¾ penuh.
5.Masukkan semua bahan lapisan atas pula ke dalam periuk.
6.Kacau rata dan masak dengan api sederhana sehingga pekat. Sentiasa dikacau untuk mengelakkan adunan bergentel.
7.Angkat dan tuang ke dalam kelongsong kuih tako sehingga penuh.
Boleh dihidangkan sejuk atau panas.

Tip Masakan Komersial
Untuk lapisan bawah, tepung hoen kew akan menjadikan kuih tako lebih harum lagi. Memang tepung hoen kew lebih mahal tetapi dengan pengiraan kos yang betul, adalah berbaloi dan amat sesuai digunakan untuk berniaga. Sekarang ini dah terdapat tepung hoen kew yang dijual mengikut timbangan. Boleh la dapatkan harga yang lebih murah jika membeli dalam kuantiti banyak.
Menggunakan pes pandan juga lebih menjimatkan walaupun ia kurang asli. Cukuplah pandan digunakan sebagai kelongsong sahaja. Pes pandan boleh menghasilkan kuih tako yang lebih cantik warnanya. Untuk pengeluaran dalam kuantiti yang banyak, pes pandan adalah pilihan yang terbaik.
Tidak seperti kuih lapis yang memerlukan kita mengukus setiap lapisan, kuih tako lebih mudah dengan cara diatas. Jika kuih tako diproses seperti kuih lapis iaitu dengan cara mengukus, kita akan dapati semua rasa pandan menyerap kedalam adunan menyebabkan lapisan atas turut menjadi hijau malah berasa pahit. Tak kira berapa banyak kuih tako yang perlu anda sediakan, hanya perlu masak dalam kuali besar dan tuangkan sahaja dalam kelongsong setelah masak. Tak perlu berpenat lelah ditepi pengukus berjam-jam untuk mengukus kuih sedikit demi sedikit.

2 ulasan:

komen anda